Pulau Kekabu Berpotensi DiKomersialkan Hab Pengumpulan Seni Budaya Marang

Pulau Kekabu yang memiliki panorama mempesonakan terletak berhampiran Pasar Marang, dilihat berpotensi untuk dikomersialkan menjadi hab pengumpulan seni budaya daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang, berkata destinasi yang dijadikan tempat berlangsungnya Festival Sukan Air peringkat Daerah Marang itu mampu menjadi satu daripada produk pelancongan yang unggul sekali gus memperkasakan seni budaya tempatan khasnya di daerah Marang.

“Saya selaku Pengerusi Majlis Kebudayaan Daerah Marang ingin melihat Daerah Marang sebagai sebuah daerah hab pelancongan dan menjaga seni budaya tempatan.

“Di Marang terdapat pelbagai seni budaya antaranya keseniaan rodat dari Kampung Surau Panjang, tumbuk emping dari Kampung Undang, Dikir Barat dari Wakaf Tapai dan Bukit Kecil Durian Pahit serta silat dari Marang memang seringkali mendapat jemputan untuk program seluruh negeri Terengganu serta banyak lagi seni budaya yang lain,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Pekan Budaya Daerah Marang, baru-baru ini.
A Latiff berkata, pada tahun ini terdapat sedikit penambahbaikan untuk program pekan budaya apabila dimeriahkan lagi dengan cara baharu, iaitu Pertandingan Perahu Layar Piala YB A.Latiff Awang.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam keadaan cuaca yang tidak menentu masa kini, semua pengunjung pekan budaya dan peniaga serta urusetia pameran dinasihatkan menjaga keselamatan diri dan membuat persediaan untuk mengelakkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Selain itu juga, katanya di peringkat negeri, kerajaan berusaha memperbanyakkan acara dan program berbentuk kebudayaan dan kesenian di dalam Kalendar Pelancongan Negeri sepanjang 2015 seperti Pertandingan Gamelan Sekolah-sekolah Negeri Terengganu, Himpunan Seni Terengganu 2015, Pekan Budaya Daerah, Persembahan Hujung Minggu Daerah, Festival Peranakan Terengganu, Pertandingan Pelita Raya, World Intercontinental Islamic Festival, Pesta Pantai Terengganu dan Pertandingan Gamelan Sedunia.

“Kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif dengan menyelitkan elemen-elemen kebudayaan di dalam setiap program-program pelancongan.

“Adalah diharapkan wujudnya badan-badan kebudayaan, kesenian dan warisan di setiap daerah dapat menggerakkan mekanisma melalui program-program seperti penglibatan di dalam Pekan Budaya Daerah, Persembahan Hujung Minggu Daerah dan pertandingan berbentuk kebudayaan, kesenian dan warisan yang bakal menjenamakan identiti daerah, masyarakat yang cakna budaya dan seterusnya mampu meningkatkan jumlah pelancong yang berkunjung ke negeri ini yang akan berbelanja ke arah menjana pertumbuhan sosio-ekonomi masyarakat setempat,”katanya.
Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

0 comments:

Post a Comment