Bermandikan Ribuan Kelah di Santuari Kelah, Tasik Kenyir



RATUSAN ribu ikan kelah menanti pengunjung, Mungkin sukar dipercayai dengan jumlah yang terlalu banyak ini, Namun, ia adalah satu hakikat apabila berkunjung ke Santuari kelah di Sungai Petang, Tasik Kenyir, dengan kehadiran ribuan kelah ini memberi satu pengalaman yang cukup beharga buat pengunjung apabila berada di kelilingi Kelah, Spesies ikan tersebut seolah-olah tahu pengunjung akan memberi mereka makan.

 Ikan-ikan kelah itu membiak dengan banyak di sungai berkenaan dan ia dikawal rapi dari sebarang aktiviti pencerobohan seperti memancing dan sebagainya, Sepanjang tiga kilometer di sebahagian daripada Sungai Petang itu, kawasan berkenaan telah digazetkan sebagai santuari kelah oleh kerajaan negeri Terengganu.


Keunikan Sungai Petang itu sebenarnya telah mengubah wajah Tasik Kenyir yang memang terkenal sebagai kawasan pelancongan sepanjang tahun.

Apabila berkunjung ke santuari kelah, pasti seseorang akan terkejut dan kagum dengan panorama di situ, bagi pengunjung yang tidak biasa dikerumuni ikan-ikan, mungkin merasa agak janggal, namun perasaan itu hanya seketika. Sebaliknya, perasaan kagum dan seronok akan menyelubungi pengunjung selepas beberapa minit berada di dalam air, dengan menabur palet makanan ikan, ikan-ikan kelah berkenaan akan berebut-rebut untuk memakannya.

Pada masa inilah pengunjung berkesempatan untuk memegang ikan-ikan tersebut, Malah, pengunjung juga boleh meletakkan palet di sebelah tangan kiri dan memegang ikan di sebelah tangan kanan sambil menyuapkan makanan tersebut pada ikan yang dipegang. Sukar dipercayai, walaupun sedang dipegang, ikan-ikan itu masih terus memakan palet-palet yang diletakkan di atas tangan.


Jika sebelum ini ramai kalangan kita hanya berkesempatan memegang ikan, tapi di santuari ini satu lagi aktiviti menyeronokkan ialah mencium ikan-ikan tersebut, pengunjung boleh mencium ikan-ikan berkenaan secara lembut dan tanpa sebarang masalah. Inilah pengalaman yang boleh dirasai apabila seseorang itu berkunjung ke santuari kelah di Sungai Petang, Tasik Kenyir, Ikan-ikan kelah berkenaan walaupun hidup secara liar dalam habitat semulajadinya, namun ia tetap jinak kepada para pengunjung.

Apabila dipegang, ikan-ikan berkenaan memberikan tindak balas yang lembut, walaupun badan ikan kelah itu licin, namun pengunjung masih boleh memegangnya dan ia satu pengalaman yang amat menyeronokkan. Bermandi-manda sambil memberi makan ikan kelah suatu kemestian jika pengunjung mahu melalui pengalaman unik di Tasik Kenyir.

 Dengan air yang jernih dan bersih, Sungai Petang pasti tidak mengecewakan para pelancong yang mengunjunginya termasuk untuk mandi-manda. Sehubungan itu, tidak hairanlah santuari kelah di Sungai Petang sesuai dijadikan lokasi untuk kegiatan kaji selidik dan pembangunan dan penyelidikan (R&D). Beberapa agensi dan universiti dikatakan berminat untuk menjalankan penyelidikan mengenai kelah serta flora dan fauna yang terdapat di sekitar Sungai Petang.

Selain Sungai Petang, beberapa sungai yang terdapat di sekitar Tasik Kenyir juga didapati sesuai untuk hidupan spesies ikan lain seperti toman, tilapia dan beberapa spesies lain, ia bukan sahaja menjadi daya tarikan pelancong, malah dapat meningkatkan ilmu pengetahuan orang ramai apabila mengunjungi santuari berkenaan.

Ini kerana, pengunjung boleh mempelajari mengenai spesies kelah yang dapat membiak dengan banyak disebabkan faktor-faktor semulajadi di situ, Berada di santuari kelah adalah sebahagian daripada keunikan ketika melancong di Tasik Kenyir.

 Bagi mereka yang gemar bersantai menggunakan houseboat, masa lebih seminggu diperlukan untuk meneroka kawasan-kawasan menarik di Tasik Kenyir, kerana keunikan dimiliki Tasik Kenyir inilah menjadikan ia sebagai destinasi menarik untuk kaki pancing.

 Namun, mereka yang ingin 'berjuang' mendapatkan ikan-ikan dari tasik ini harus mengetahui petua-petua memancing, Petua-petua tersebut adalah dari segi umpan. Memancing di Tasik Kenyir apa berlainan memancing di sungai-sungai lain atau laut, di sini, pengunjung memerlukan umpan-umpan tertentu seperti buah-buah kelapa sawit yang diperam bersama bahan-bahan tertentu, umpan anak ikan hidup, palet dan sebagainya.

Pengalaman berada di Sungai Petang bersama ribuan kelah ini pasti meninggalkan seribu memori dan anda pasti akan terasa untuk kembali lagi.
Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

0 comments:

Post a Comment